Friday, September 18, 2009

Sembelit Selepas Kelahiran

Sembelit selepas kelahiran adalah suatu masalah yang sangat lazim di alami ibu-ibu. Keadaan ini berlaku kerana kebanyakan ibu yang dalam pantang ini "dinasihati" supaya kurangkan meminum air dan tidak dibenarkan mengambil sayur-sayuran dan buah-buahan. Pengambilan air yang banyak kononnya akan menyebabkan saluran faraj berair dan perut jadi buncit. Pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan pula dikatakan menyebabkan angin dan sejuk.

Sembelit selepas bersalin berlaku kerana perjalanan najis di dalam saluran usus lazimnya menjadi perlahan. Keadaan ini disebabkan oleh beberapa faktor seperti:

1. Otot di perut(abdomen) menjadi kendur menyebabkan tekanan di dalam abdomen lebih rendah daripada biasa.

2. Otot di usus juga menjadi kendur kerana terdapat kadar hormon progesterone yang tinggi semasa hamil.

3. Jika terdapat luka episiotomy, ibu-ibu mungkin takut hendak membuang air besar kerana takut sakit ataupun takut terbuka jahitan.

Untuk mengatasi masalah sembelit, seseorang ibu perlu mengambil langkah seperti di bawah ini:

1. Banyak meminum air atau cairan 2-3 liter sehari. Air ini akan membantu pengeluaran susu yang banyak, mengurangkan jangkitan kuman pada pundi-pundi kencing serta mengurangkan sembelit. Lebihan air ini akan dikeluarkan daripada badan seseorang melalui peluh atau air kencing dan bukannya ke tisu faraj.

2. Memakan makanan yang tinggi kandungan seratnya seperti buah-buahan dan sayur-sayuran. Selain daripada serat, makanan ini juga mengandungi banyak vitamin seperti vitamin C. Vitamin C diperlukan untuk proses pemulihan tisu-tisu yang telah tercedera semasa kelahiran bayi dan juga penyembuhan luka seperti luka episiotomy ataupun luka pembedahan caesarian.

3. Tidak digalakkan bagi ibu-ibu untuk hanya berbaring di katil semasa pantang. Banyakkan bergerak dan berjalan untuk memudahkan membuang air besar serta membuat senaman menguatkan otot abdomen apabila pendarahan nifas sudah berkurangan. Senaman untuk menguatkan otot-otot di pelvis juga penting dilakukan untuk memulihkan semula keadaan otot-otot di sekeliling dubur dan faraj.

4. Ibu mungkin perlu diberi rawatan dengan ubat-ubatan untuk merawat sembelit. 


petikan sumber dr http://www.mesra.net/forum/index.php?act=ST&f=18&t=38917&st=15

Monday, July 13, 2009

FETAL DISTRESS / BAYI LEMAS


Zara dikeluarkan dr perut mama mgunakan kaedah LSCS kerana Fetal distress


Terdapat beberapa punca menyebabkan bayi lemas dalam kandungan khususnya dalam peringkat kandungan bulan terakhir.    Yang paling sering sekali ialah disebabkan uri yang bermasalah iaitu apa yang digelar dengan nama "placenta insufficiency".     

Tugas utama uri ialah untuk membekal oxygen dan makanan pada bayi. Jika rosak akibat daripada perkara perkara yang tertentu seperti jangkitan kuman virus , keracunan ataupun disebabkan allergi dan lain-lainnya yang mana punca sebenar tidak ketahui, maka fungsi penting uri untuk membekal oxygen dan makanan pada bayi akan terganggu.
    
Biasanya keadaan ini dapat dikesan dalam pemeriksaan "ante-natal" dimana berat badan ibu tidak meningkat dan ukuran tinggi rahim juga tidak meningkat. Melalui "ultrasound scanning" pertumbuhan bayi nampak terjejas.
     
Lain-lain punca bayi lemas ialah penyakit darah tinggi dan juga "toxemia" atau keracunan kandungan yang biasa berlaku pada wanita yang mengandung anak sulung dan juga ibu-ibu yang terlalu gemuk. Bayi juga mungkin lemas akibat daripada masalah di tali pusat yang kadang-kadang boleh menjerat leher bayi ataupun tersimpul oleh sebab pergerakan bayi yang terlalu kuat.

Ini perkara yang tidak boleh dielakkan. Apa yang penting ialah untuk mengesan tanda-tanda bayi hendak lemas dan mengambil tindakan yang sewajarnya sebelum ia lemas dan mati. Jika berlaku kesan-kesan bayi lemas ini, sebaiknya kelahiran dihasilkan secara pembedahan cesarean sebelum cukup bulan, misalnya pada kandungan 38 minggu iaitu dua minggu sebelum tarikh lahir.

Bayi lemas atau 'fetal distress' kadang-kala  berlaku dan dikesan ketika sakit bersalin (labour) dengan tanda denyutan jantung bayi menjadi perlahan iaitu jauh lebih rendah dari kadar normal 120 seminit. Jika keadaan ini berlaku pembedahan cesarean perlu dilakukan secara cemas. Ini bertujuan untuk menyelamatkan nyawa bayi.

petikan dari http://www.hamidarshat.com/pakar-sakit-puan-soal-jawab-110/90-punca-bayi-lemas-sewaktu-bersalin.html